Banjir

Pada 6 hb. Disember yang lepas, berpeluang ke Rantau Abang dalam Parlimen Dungun atas urusan membantu sahabat membina Baitul Muslim. Bertolak dari Seremban jam 6 petang dan sepanjang perjalanan melalui Tampin, Gemencheh, Felda Pasir Besar dan seterusnya melalui Bandar Muadzam Shah, cuaca dalam keadaan baik sehinggalah sampai di Kemaman, hujan mencurah-curah sehinggalah sampai di rumah kawan yang dituju Kg. Pusara, Rantau Abang sekitar 1.30 pagi.
Dari pagi tu sehinggalah sampai nak balik pada petang hari iaitu 3.30 petang, hujan tak berhenti-henti dan kekadang sangat lebat. Terpaksalah mengharung banjir sedalam sekaki, takut-takut kereta terkandas di lopak air. Dalam perjalanan balik, sampai di Gambang barulah hujan berhenti. Dari pemerhatian saya, kawasan Dungun adalah merupakan kawasan yang paling teruk dilanda banjir berbanding kawasan-kawasan yang lain. Keadaan permukaan bumi yang berhampiran dengan pantai mempunyai kawasan-kawasan paya dan takungan air yang tidak berupaya menampung air semasa banjir. Dengan sistem perparitan yang tidak dijaga dengan baik di mana parit-parit tidak didalamkan dan tiada pembinaan ban menyebabkan air yang sepatutnya disalirkan melalui sistem perparitan melimpah ke kawasan dataran yang rendah. Dataran yang rendah ini yang tidak mempunyai saliran air keluar akan menyebabkan air terperangkap dan bertakung.
